This is actually an article I made specially for my dad's magazine (yang baru diluluskan :)) called "Lestari".But I'm not sure yet whether my dad will take it or not,he still reconsidering it...huhu..:P
Dunia yang Adil
Kita pernah mendengar kata-kata sesetengah orang yang mendakwa “hidup ini memang tidak adil”. Pada kebiasaannya kata-kata ini diucapkan oleh mereka yang telah ditimpa dengan kesusahan atau mereka yang telah berputus asa. Kata-kata berunsur negative seperti ini malangnya telah menjadi kebiasaan dalam masyarakat kita. Allah menjanjikan bahawa setiap kebaikan akan diganti dengan kebaikan dan setiap keburukan akan dibalas dengan keburukan, sesungguhnya Allah adalah Hakim Yang Maha Adil. Allah telah menciptakan dunia ini dengan penuh keseimbangan dan Allah juga telah menetapkan hukum-hukumya bagi mencapai keadilan yang pasti didunia ini.
Sifat sesetengah manusia kebanyakkannya sering ragu dengan janji Allah. Kita sering dikaburi dengan khabar angin tentang kehidupan tidak adil. Malah, cerita seperti ini digembar gemburkan lagi di dada-dada akhbar. Kisah mereka yang tidak berdosa ditimpa malang dan bencana. Kita seolah-olah dibasuh oleh media untuk memikirkan bahawa kehidupan yang sebenar ini tiada keadilannya. Minda manusia sekiranya diterapkan setiap hari dengan sesuatu yang seharusnya bukanlah kebiasaan lama kelamaan ia akan menjadi perkara yang dianggap normal bagi kita. Oleh itu, kehidupan sebenar didunia ini adalah tidak adil menjadi sesuatu yang dianggap benar. Bukankah hidup didunia ini dengan satu kemungkinan bahawa ketidakadilan mungkin boleh berlaku kepada diri kita adalah sesuatu yang menyedihkan? Kita akan hidup dengan perasaan takut dan kita akan sering berasa tidak selamat.
Hakikatnya, hidup didunia ini sememangnya adil. Apa sahaja yang kita terima dari Allah adalah hasil daripada pekerjaan kita dan apa sahaja yang Allah berikan kepada hambaNya adalah untuk kebaikan kita. Apa yang menyebabkan kita sering merasa bahawa dunia ini tidak adil berpunca dari cara pemikiran kita. Orang yang sentiasa berfikiran positif akan mendapati bahawa keadilan itu sememangnya wujud manakala pemikiran negative akan menyebabkan kita cepat berputus asa dan bersedih. Samaada kita ingin percaya atau tidak, keadilan itu sentiasa ada. Allah tidak pernah berlaku tidak adil kepada hambaNya, namun manusia memang terang-terangan mampu berlaku tidak adil. Tetapi perlukah kita risau sekiranya manusia berlaku tidak adil kepada kita? Manusia yang tidak adil pasti akan menerima balasan atas ketidakadilan yang dilakukan samaada didunia ataupun di akhirat. Mereka yang teranaya juga diberi keistimewaan disisi Allah kerana doa golongan orang teranaya adalah antara doa-doa yang makbul, malahan doa mereka yang kufur sekalipun sekiranya teranaya juga akan dikabulkan. Kita memang digalakkan bagi menuntut keadilan namun kita perlu menggunakan cara yang baik bagi menuntut keadilan. Ketidakadilan sekiranya dibalas dengan ketidakadilan, hasilnya pasti sesuatu yang lebih buruk dari keadaan asal. Allah berfirman:
Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya. Dan Dialah yang mengetahui siapa yang mendapat petunjuk. Dan jika kamu membalas, maka balaslah dengan (balasan) yang sama dengan siksaan yang ditimpakan kepadamu. Tetapi jika kamu bersabar, sesungguhnya itulah lebih baik bagi orang yang sabar. (An-Nahl;125-126)
Oleh itu, balasan kepada mereka yang bersalah dibolehkan dengan syarat tidak boleh melebihi dari apa yang kita terima. Tetapi, Allah juga menekankan bahawa kesabaran itu adalah lebih baik dari membalas kesalahan orang lain.
Sekiranya kita ditimpa musibah atau ketidakadilan kita perlu lihat pada beberapa aspek kepada masalah yang dihadapi.
1. Aspek yang pertama adalah diri kita sendiri. Kita perlu percaya bahawa setiap musibah itu adalah kebaikan bagi kita. Selain bagi memberi kesedaran terhadap kesilapan, musibah memberi kita peluang untuk sabar. Seperti yang kita ketahui, orang yang sabar adalah antara orang-orang yang paling tinggi darjatnya disisi Allah dan pahala bagi orang yang sabar adalah sangat besar. Musibah bukanlah hukuman kepada manusia tetapi ia adalah peringatan dan antara cara yang Allah gunakan dengan harapan hambaNya akan kembali ke jalanNya yang lurus. Terdapat sebuah analogi yang digunakan oleh penulis buku “Bila Allah Menduga Kita” tentang musibah. Ibarat dua orang rakan, seorang berada di atas bangunan yang tinggi yang cuba memanggil rakannya seorang lagi yang berada dibawah bangunan. Apabila dijerit dari atas sudah pasti tidak didengarinya. Maka rakan yang berada diatas membaling duit syiling ke awah. Rakannya di bawah tanpa berfikir panjang hanya mengambil duit tersebut dengan gembira tanpa memandang atas. Dibaling lagi syiling yang lebih besar dan tinggi harganya tapi masih tidak disedari. Rakannya yang diatas berasa marah lalu memcampakkan batu yang terkena pada kepala rakannya dibawah. Saat itu barulah rakannya yang berada dibawah menyedari rakannya yang di atas. Manusia sifat mereka memang selalu melupakan Allah ketika senang dan akan berpaling kepada Allah ketika susah. Sekiranya sesuatu buruk menimpa, kita perlu mengingat kembali pekerjaan yang kita lakukan. Kita perlu kembali pada Allah kerana Allah suka sekiranya hambaNya berdoa kepadaNya. Kita juga perlu menyesali dosa yang kita pernah lakukan dahulu dan bertaubat untuk melindungi diri kita dari terus terdedah dengan bahaya ditimpa musibah dari Allah.
“…dia mendapat kehinaan di dunia, dan pada hari kiamat Kami berikan kepadanya rasa azab neraka yang membakar. “itu kerana perbuatan yang dilakukan oleh kedua tanganmu” dan Allah sekali-kali tidak menzalimi hamba-hambaNya. (Al-Hajj;9-10)
Musibah juga kadangkala diberikan bagi membuka peluang yang lebih baik bagi kita. Seperti yang kita sedia maklum, setiap kesusahan pasti akan disusuli dengan kebaikan. Maka bukankah adil sekiranya pada setiap musibah itu ada perkara yang baik disebaliknya?
2. Aspek kedua adalah orang sekeliling. Kadangkala, kita merasakan bahawa kita menjadi mangsa kepada keburukan dan ketidakadilan orang disekeliling kita. Perkara ini memang benar. Musibah pada diri kita juga berkemungkinan adalah ujian juga bagi orang-orang yang berdekatan dengan kita. Seperti kisah anak-anak kecil yang tidak berdosa dirogol dan dibunuh, ini adalah ujian kepada ibu-bapanya. Maka kita juga perlu memastikan bahawa orang disekeliling kita juga bebas dari melakukan perkara yang boleh membawa kepada musibah dari Allah yang tertempias kepada kita. Kita seharusnya mengambil pelajaran dari apa yang berlaku dengan menyokong kearah kebaikan serta mengelakkan diri dan orang lain dari keburukan. Kita juga perlu berhati-hati dalam pergaulan dan mencari orang-orang yang baik untuk digauli. Perlulah sentiasa beringat bahawa persekitaran yang tidak baik juga mampu memberi kesan pada kita. Konsep mudah ini dikenali sebagai amar makruf dan nahi munkar. Jika hanya diri kita sahaja yang baik, keselamatan kita tidak akan terjamin sekiranya kita membiarkan kejahatan berleluasa. Apabila sesuatu keburukan berlaku, orang yang berada disekeliling kita juga sebenarnya diuji. Mereka perlu megambil iktibar dan berusaha bagi memperbaiki keadaan juga. Maka bukankah adil sekiranya orang disekeliling juga diuji dan musibah itu peringatan yang berpunca dari kelalaian?
3. Aspek ketiga adalah dari sudut mereka yang berlaku tidak adil. Jika jelas sekali tujuan ketidakadilan mereka adalah untuk memuaskan hawa nafsu mereka, sudah pastinya, hidup mereka yang terus bergelumang dengan dosa dan akan berakhir dengan kehinaan dan azab di akhirat kelak. Rezeki yang diterima dari punca yang haram tidak akan diberkati. Manusia seperti ini akan mealui hidup yang penuh dengan kesusahan dan mereka tidak akan bertemu dengan ketenangan selagi mereka tidak bertaubat kepda Allah dengan sepenuhnya. Itu merupakan janji Allah. Ini adalah golongan manusia yang perlu kita bawa kepada jalan yang lurus kerana kejahatan mereka akan memberi kesan kepada kita terutamanya jika mereka mempunyai pengaruh yang besar. Kita juga perlu ingat, kadangkala kezaliman yang dilakukan itu sendiri berkemungkinan adalah ujian bagi mereka. Kadangkala kita pernah berlaku tidak adil dan menzalimi orang disekeliling kita. Jika kita tersedar dari kesilapan itu kita mungkin akan berasa bersalah dan malu mengahadapi masyarakat. Tetapi janganlah kita terus bersedih kerana keadilan tetapa ada. Seperti kita sedia maklum Allah menerima taubat hambaNya tidak kira apa pun kesilapan yang kita lakukan, kita masih boleh kembali ke pangkal jalan selagi nyawa masih ada dan selagi kiamat belum tiba. Maka bukankah adil sekiranya orang yang berlaku zalim itu juga sedang diuji dan akan menerima balasannya? Bukankah adil sekiranya setiap kesilapan itu mampu dibersihkan dengan taubat?
Kesilapan yang sering dilakukan adalah apabila kita melihat aspek-aspek kepada musibah ini secara berasingan. Apabila sesuatu buruk berlaku, ketiga-tiga aspek ini memainkan peranan. Kita tidak perlu merasakan bahawa sesuatu ketidakadilan itu adalah berpunca dari diri kita sahaja dan pengajarannya hanyalah untuk kita. Kita juga tidak boleh menyalahkan orang yang berlaku tidak adil tersebut atau orang sekeliling sahaja. Hasilnya kita tidak akan mendapat apa-apa kebaikan dari musibah itu. Apabila ditimpa apa sahaja keburukan yang membuatkan kita berasa susah, bukalah minda kita dan fikirkanlah kesemua aspek kepada sesuatu yang buruk. Pengajaran dan kebaikan dari suatu musibah itu sebenarnya melimpah ruah. Ada yang mengatakan “sekiranya tiada musibah, umat islam ketika hari kiamat akan berada dalam kemiskinan”.
Jika kita sering berfikiran positif dan mengharapkan yang terbaik dari apa sahaja yang berlaku, Allah akan membukakan mata dan hati kita kepada kebaikan-kebaikan ini. Sekiranya kita berfikiran negative, terus berasa marah, sedih, dan benci, mata dan hati kita akan tertutup dari kebaikan yang Allah ingin berikan pada kita. Kita akan menolak perkara yang baik dan syaitan akan lebih mudah memperdayakan kita. Rugilah kita jika kita gagal mendapatkan kebaikan dari apa sahaja ujian yang Allah berikan kepada kita dan lebih teruk lagi jika kita membalas ujian dari Allah dengan keburukan, kesedihan, kemarahan atau kejahatan yang akhirnya hanya akan memakan diri kita sendiri. Percayalah abhawa keadilan itu sentiasa ada, kita perlu mencarinya, mewujudkannya supaya kita dapat menikmati kehidupan yang serba indah.
No comments:
Post a Comment